http://www.megasutra.com

Umat Islam Umat Contoh

Sebagai umat Islam yang beriman tentu kita meyakini bahawa hidup manusia akan lebih selamat dan bahagia dengan berpandukan kepada peraturan yang dibuat oleh Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Perkasa. Siapalah manusia mahu memandai-mandai hidup di dunia ini, ikut suka atau kemahuan sendiri sehingga berani menyanggah dan melanggar hukum Allah Ta'ala secara sedar dan terang-terangan.

Firman Allah Ta'ala:

Maksudnya:

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri me-ngenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (S. Al-Ahzab: 36).

Asas dan prinsip untuk menjadi umat contoh telahpun dinyatakan satu demi satu dalam al-Qur'an dan juga sunnah Rasulullah SAW. Semuanya telah ditetapkan oleh Allah SWT dan ditunjukkan oleh Rasul-Nya.

Dalam menempuh zaman yang serba mencabar dan dipenuhi dengan aksi pergelutan dan pertembungan yang teramat sengit dan sangat mendebarkan ini. Umat Islam benar-benar berada di tengah-tengah lautan manusia dan hiruk-pikuk dunia yang mengancam. Apakah umat Islam akan ditenggelamkan dalam situasi itu? Berpeganglah kepada janji Allah SWT, bahawa umat Islam adalah umat terbaik. Dan umat Islam jangan seperti orang dibuai status dan darjat sehingga lupa hakikat diri. Maka kita mesti disogok dan diasak de-ngan pelbagai persoalan yang boleh menyedarkan dan boleh menggilap kembali kebangkitan umat Islam di mata dunia dan hatta di dalam kelompok masyarakat yang kecil sekalipun umat Islam mesti menjadi umat terbaik, contoh atau cerminan kepada bangsa lain dengan status 'kuntum khaira ummatin' (kamu adalah sebaik-baik) status yang diberikan oleh Allah SWT itu. Tetapi bukan pula jadi umat contoh yang sekadar dapat dilihat di dalam muzium atau dalam catatan sejarah.

Firman-Nya yang bermaksud:

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..." (S. Ali 'Imran: 110).

Umat Islam adalah umat terbaik. Umat Islam adalah umat contoh di tengah-tengah masyarakat yang lain, lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk di negeri dan negara ini. Kemuliaan dan darjat yang diberikan oleh Allah SWT itu adalah bagi faedah dan dengan manfaatnya kepada orang lain.

Sebagai umat contoh terbaik kepada orang lain. Umat Islam hendaklah mengambil seluruh syariat dan ajaran Islam sebagai panduan, etika dan amalan dalam segala bidang kehidupan. Ketika di rumah atau di luar rumah. Sewaktu di pejabat, di pasar, di bank, di pasaraya, di sekolah, di padang bola, di taman bunga atau di mana-mana jua. Sabda Nabi SAW:

"Bertaqwalah kepada Allah di manapun kamu berada dan ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, nescaya menghapuskannya. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang luhur". (HR At-Tirmizi).

Justeru itu, umat Islam wajar menjelmakan nilai, ajaran dan syariat Islam ini dalam diri kita. Sebagaimana Baginda Nabi SAW menjelmakan nilai dan ajaran Islam dalam dirinya untuk menjadi ikutan kepada para sahabat, ahli keluarga dan masyarakat seluruhnya. Siti 'Aisyah r.a. pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, jawabnya: "Adalah akhlaknya ialah al-Qur'an". Ini bermakna bahawa segala sifat, sikap, percakapan dan seluruh peri kehidupan Baginda Nabi SAW adalah berpunca dari al-Qur'an. Sehingga dikatakan bahawa diri Rasulullah SAW itu al-Qur'an yang hidup.

Mungkin ada yang akan berkata; itu Nabi dan kita orang biasa. Kata-kata seperti ini tidak wajar keluar dari mulut umat Islam yang beriman. Kerana sebagai umat Islam yang beriman dituntut mengikuti cara hidup Nabi SAW de-ngan berpandukan al-Qur'an dan Sunnah yang dibuat oleh Baginda Nabi SAW.

Tidak ada contoh lebih baik selain Baginda Nabi SAW sebagaimana yang disebut dalam al-Qur'an bahawa dalam diri Nabi SAW itu terdapat contoh/model terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa sudah dan senang)". (S. Al-Ahzab: 21).

Memang bukan mudah untuk menjadi umat contoh. Tetapi tidaklah begitu berat seandainya umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang terkan-dung dalam al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW. Segala macam ciri kebaikan, akhlak mulia, kehidupan yang baik dan sebagainya dijelaskan dalam kedua-duanya (al-Qur'an dan Sunnah). Cara pergaulan dalam Islam, rumahtangga Islam, per-niagaan dalam Islam, pengurusan/pentadbiran dalam Islam hatta hal-hal yang sekecil-kecil ada panduannya di dalam Islam seperti memotong kuku, memotong misaipun diajarkan dan ada panduannya dalam Islam.

Dengan itu, untuk kita benar-benar layak menjadi umat terbaik dan umat contoh sebagaimana yang dinyatakan Allah SWT dalam al-Qur'an itu. Marilah kita kembali kepada pengajaran dan bimbingan petunjuk al-Qur'an dan Sunnah. Misalnya, dalam urusan per-niagaan yang dijalankan hendaklah bersifat jujur, tidak menipu dalam jualan dan timbangan. Dalam urusan pejabat hendaklah amanah, jujur, tidak rasuah, tidak menipu dan sebagainya. Atau dalam apa juga urusan kehidupan seharian kita hendaklah kita menuruti apa yang diajarkan oleh Islam. Insya-Allah, umat Islam dan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai Islam dan mempraktikan segala ajaran Islam dijamin akan memperoleh keberkatan, nikmat dan rahmat lebih baik di sisi Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:

"Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami (Allah) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi." (S. Al-'Araaf: 96).

Akhirnya, sebagai tips kepada kita marilah sama-sama kita renungkan antara kandungan penting dari khutbah Nabi SAW pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijriah di Arafah yang terkenal khutbah 'Hajjatul Wida' yang terakhir Baginda Nabi SAW, katanya:

"Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, Dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah dibulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam soal taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, Bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaan ku".

Disaring dari khutbah Juma'at
Musally Moksin
http://www.sabah.gov.my/jheains/Umat Islam umat contoh.htm