Islam Bukan Agama Keganasan
Dewasa ini, agama Islam seringkali didakwa dan dikaitkan dengan keganasan. Dakwaan dan tohmahan ini timbul kerana perilaku segelintir individu Muslim dituduh kononnya melakukan atau terlibat dalam keganasan. Manakala bagi negara-negara umat Islam yang tidak tunduk kepada kuasa Barat telah dilabel sebagai paksi keganasan atau penaja keganasan. Semua dakwaan ini dicipta oleh musuh-musuh Islam untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia terhadap Islam. Apakah benar Islam itu ganas dan menggalakkan umatnya berlaku ganas terhadap orang lain? Untuk menjawab persoalan ini marilah kita meneliti hakikat sebenar ajaran Islam.
Pengertian Islam Menurut Bahasa
1. Tunduk dan menyerah.
Islam bererti tunduk dan menyerah. Setiap Muslim wajib tunduk dan patuh serta menyerahkan diri hanya kepada Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nisa' ayat 65 berbunyi:
Maksudnya :
:" Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan , dan mereka menerima dengan sepenuhnya".
2. Keselamatan.
Islam bererti keselamatan.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Maidah ayat 15-16 berbunyi:
Maksudnya:
" Hai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepada mu banyak dari isi Al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan ".
" Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan ( dengan kitab itu pula ) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus".
3. Kedamaian
Islam bererti kedamaian.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Anfal ayat 61 berbunyi:
Maksudnya:
"Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
4. Kesejahteraan
Islam bererti kesejahteraan.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Yunus ayat 9-10 berbunyi:
Maksudnya:
" Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka kerana keimanannya, dibawah mereka mengalir sungai-sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan".
" Do'a mereka di dalamnya ialah:"Subhanakallahumma" dan salam penghormatan mereka ialah:"Salaam". Dan penutup doa mereka ialah:"Alhamdulillaahi Rabbil'aalamin ".
Pengertian Islam Menurut Istilah.
Tunduk dan menyerah diri sepenuhnya, secara mutlak, baik lahir mahupun batin hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata dan tidak mensyirikkan Nya dengan yang lain.
Asas ketundukan dan penyerahan diri itu adalah pengakuan yang tulus dari lubuk hati, bahawa seluruh kejadian adalah ciptaan Allah s.w.t.
Antara Ciri-Ciri Kemuliaan Islam
1. Tiada Paksaan Dalam Beragama
Apabila kita memahami dan meneliti pengertian Islam yang diperjelaskan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa Islam adalah agama kesejahteraan, kedamaian dan ketenangan. Islam tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk memeluk dan menganut agamanya, sesuai dengan perkataan Islam itu sendiri yang berasal dari kalimah 'salima' bererti selamat atau sejahtera.
Di sepanjang sejarah Islam, tidak pernah wujud sebarang paksaan dalam penyebaran dakwahnya. Islam telah berkembang dengan dakwah secara lemah lembut dan berhikmah. Tidak ada dalam catatan sejarah seseorang dibunuh kerana keengganannya menganut Islam, bahkan Islam tidak membenarkan unsur paksaan dalam ajarannya.
Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 256:
Maksudnya:
"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)".
Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut dan dia pula beriman kepada Allah maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Betapa Islam tidak membenarkan paksaan dalam perkara yang berkaitan dengan akidah dan syariah. Ini adalah isyarat jelas bahawa Islam mengambil kira kebebasan individu itu sendiri.
Perlu ditegaskan bahawa tiada satu pun agama di dunia yang mengambil berat mengenai kebebasan beragama melainkan agama Islam yang memberi pengi'tirafan kepercayaan hidup setiap manusia. Islam mengi'tiraf pelbagai jenis kebebasan untuk umat manusia dalam kehidupan mereka.
Dalam kebebasan beragama ini, Islam memerintahkan umatnya supaya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat selaras dengan firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 125 yang berbunyi:
Maksudnya:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk."
Oleh itu , tidak ada sama sekali unsur paksaan dalam dakwah Islam sebagaimana yang didakwa oleh orientalis dan musuh Islam. Mereka memandang serong terhadap Islam sehingga memutarbelitkan fakta mengenai Islam.
Justeru umat Islam diminta berwaspada terhadap pemikiran beracun yang dicanangkan oleh musuh Islam.
2. Mempertahankan Hak
Di samping itu, Islam menegaskan bahawa setiap individu Muslim berkewajipan untuk mempertahankan maruah dan hak masing-masing berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan maruahnya adalah syahid , sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya adalah syahid."
(Riwayat Abu Daud, An Nasai dan At Tirmizi).
Intipati hadis ini juga termasuk ciri kebebasan anjuran Islam kepada setiap Muslim dalam mempertahankan hak dan maruahnya dalam kehidupan mereka.
Islam, walaupun mengajak umatnya berperang untuk menegak serta mempertahankan maruah dan harga diri, tetapi tidak mengizinkan umatnya bermaharajalela di
Firman Allah s.w.t. didalam Surah al-Baqarah, ayat 190 berbunyi:
Maksudnya:
"Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas."
3. Berakhlak Dalam Ssegala Keadaan.
Adalah mudah bagi kita untuk mengamalkan sikap murni dan akhlak mulia dalam keadaan biasa dan aman. Ini kerana suasana aman menjadikan akal dapat berfikir dengan baik serta menguasai diri.
Namun, perkara ini menjadi begitu sukar dalam suasana peperangan tetapi Islam tetap dengan kemuliaannya. Islam mewajibkan mereka yang berperang agar menjaga peraturan dan akhlak. Peperangan di atas nama Islam demi meninggikan kalimah Tauhid. Ia juga supaya manusia dapat menerima dan melihat keindahan Islam. Ini tidak mungkin dapat disaksikan dengan pertumpahan darah sesama manusia.
Inilah lambang peradaban Islam yang tiada tolok bandingnya. Dengan itu, manusia akan menjadi jinak hatinya dengan agama ini.
Inilah rahsia bagaimana Islam dapat berkembang pantas pada zaman kegemilangannya. Negara atau wilayah yang dimasuki oleh tentera Islam dengan pantas penduduknya akan beriman dengan ajaran Islam, tanpa sebarang paksaan, sebaliknya mereka terpaut dengan akhlak yang dipamerkan oleh tentera Islam.
Tiada paksaan di dalam Islam untuk seseorang itu beriman dengan ajarannya. Kepercayaan dan keimanan adalah sesuatu yang tidak mungkin terhasil dengan paksaan. Keimanan itu bermula dengan hati yang percaya. Sekiranya seseorang itu dipaksa mengucapkan sesuatu dengan lidah, namun jika hatinya tidak beriman, dia tetap dianggap tidak beriman. Pedang dan senjata tidak mungkin dapat memasukkan iman ke dalam hati manusia.
4. Melindungi Semua Golongan.
Islam menetapkan agar sesuatu peperangan tidak diperluaskan ke luar lingkungan medannya. Hanya yang terbabit dalam peperangan dibunuh. Adapun golongan musuh yang tidak menyertai peperangan, mereka tidak boleh dibunuh selagi tidak menzahirkan permusuhan dan penentangan bersenjata.
Secara terperincinya, mereka ialah:
Pertama: Wanita dan kanak-kanak.
Antara dalilnya, hadis daripada Ibn Umar r.a. katanya:
"Sesungguhnya seorang wanita didapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi s.a.w.), maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kata Imam Asy-Syafie :
" Tidak diharuskan sesiapa pun di kalangan Muslimin untuk sengaja membunuh wanita dan kanak-kanak (dalam peperangan), kerana Rasulullah s.a.w. melarang membunuh mereka ".
( Rujukan : Al-Umm, jilid 4, m.s. 239, cetakan: Darul Ma'rifah,
Kata Ibn Rusyd :
" Demikian juga tiada khilaf di kalangan ulama mengenai tidak harus membunuh kanak-kanak dan wanita selagi mereka tidak terbabit berperang. Apabila wanita turut berperang, maka dia boleh dibunuh. Ini semua berdasarkan apa yang pasti daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda melarang wanita dan kanak-kanak dibunuh."
( Rujukan: Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid, jilid 1, m.s. 280, cetakan : Darul Fikr, Beirut).
Kedua: Orang tua dan orang yang uzur.
Jumhur ulama, iaitu Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan satu daripada pendapat Imam Syafie, menyatakan mereka ini tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri terhadap tindakan dan perancangan mereka dalam peperangan.
Dalilnya firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas."
( Surah al-Baqarah: ayat 190 ).
Begitu juga hadis daripada Anas bin Malik, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Pergilah kamu ke
( Riwayat Abu Daud )
Sekalipun hadis ini sanadnya daif, namun golongan tua yang tidak membantu peperangan sama ada dari segi tenaga atau buah fikiran, tetap tidak wajar dibunuh. Ini dapat dikiaskan kepada wanita yang membantu peperangan.
Kata Ibn Daqiq Al-Id :
" Hukum asalnya ialah tidak boleh membunuh. Hanya dibolehkan membunuh demi mengelakkan bahaya. Sesiapa yang pada kebiasaan tidak berperang (menentang tentera Islam) dan tidak berkemampuan untuk berperang, maka dia tidak mendatangkan mudarat seperti mana mereka yang berperang. Maka hukumnya kembali kepada asal, iaitu mereka itu tidak boleh dibunuh."
( Ibn Daqiq Al-Id, Ihkam Al-Ahkam, juz. 4, m.s. 184, cetakan: Darul Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut)
Apa yang penting ialah mereka tidak bertindak membantu peperangan. Oleh itu, pasti daripada Nabi saw juga bahawa baginda memerintahkan supaya dibunuh Zaid bin al-Summah yang berusia 120 tahun atau lebih kerana membantu tentera Hawazin.
( Rujukan: Syams Al-Haq Abadi, Aunul Ma'bud, jilid 7, m.s. 196, cetakan Darul Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut )
Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah ibadat.
Dalilnya ialah riwayat Ibn Abbas, katanya
: Apabila Rasulullah s.a.w. menghantar pasukan tentera, maka baginda bersabda: "Keluarlah kamu ke
Kata Asy-Syaukani : "Hadis ini menjelaskan bahawa tidak boleh membunuh sesiapa sahaja daripada golongan yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum Muslimin."
(Rujukan: Asy-Syaukani, Nailul Autar, jilid 8, m.s. 74, cetakan: Dar Al-Jil,
Keempat: Pekerja dan petani.
Jumhur ulama menyatakan mereka tidak boleh dibunuh. Dalilnya hadis Hanzalah al-Katib, katanya :
"Kami berperang bersama dengan Rasulullah s.a.w., lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda untuk melihatnya.
Baginda bersabda:
"Dia ini (wanita itu) tidak turut berperang. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki, sabda baginda: "Pergi kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan asif (pengambil upah)."
( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Sanad Ibn Majah adalah sanad yang sahih. Al-Albaniy juga dalam Silsilah Al-Ahadith AS-Sahihah (hadith ke-701) menyatakan sahih.
(Lihat: jilid 2, m.s. 314, cetakan: Maktabah Al-Maarif Lin Nasyr,
Kata Al-Sindiy : "Maksud pengambil upah di sini ialah yang mengambil upah menjaga tunggangan atau seumpamanya, bukan pengambil upah berperang."
( Rujukan: Al-Sindiy, Syarah Sunan Ibn Majah, jilid. 3, m.s. 380, cetakan: Darul Ma'rifah,
Antara tanda pengambil upah ialah mereka tidak bersenjata
( Lihat: Aunul Ma'bud, jilid 7,m.s 236 ).
Mungkin termasuk juga dalam pengambil upah ini ialah mereka yang hanya bertugas menyediakan makanan atau yang membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak bertindak membantu peperangan, maka mereka tidak dibunuh.
Kelima: Perwakilan dan diplomat.
Ini berdasarkan hadis Abdullah bin Masud, katanya:
Ibn al-Nawahah dan Ibn Uthal datang kepada Nabi saw sebagai perwakilan Musailamah Al-Kazzab. Baginda bertanya: "Apakah kamu berdua mengakui bahawa aku ini Rasulullah s.a.w." Kata mereka berdua: "Kami menyaksikan bahawa Musailamah Rasulullah."
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Aku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Kalaulah aku ini boleh membunuh perwakilan, nescaya aku bunuh kamu berdua."
Kata Syams al-Haq al-Abadi: "Pada hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh perwakilan."
( Rujukan: Aunul Ma'bud, jld. 7, m.s. 314 )
Betapa tingginya nilai tamadun yang dipegang oleh Islam sejak 1,400 tahun yang lalu. Ketika dunia belum lagi celik dan mengenali batasan peraturan dan hak asasi, Islam menggariskan peraturan dan hak dalam persoalan peperangan dan hubungan antarabangsa.
Bukan sekadar atas nama kemanusiaan dan ketamadunan, bahkan atas nama agama yang membabitkan persoalan halal dan haram .
Ini semuanya menjadi bukti bahawa tuduhan Islam sebagai agama ganas dan tidak berperikemanusiaan adalah palsu dan bohong. Tuduhan yang tidak berpijak di atas fakta yang benar.
Islam sebenarnya mendahului tamadun dan peradaban yang wujud pada hari ini. Kita juga menyaksikan peperangan dalam Islam tidak terlepas daripada aspek akhlak dan budi pekerti yang baik. Peperangan ialah satu peristiwa luar biasa yang menuntut kita untuk bersikap di luar batas yang wajar. Namun dalam keadaan seperti itu pun Islam melarang kira untuk bersikap melampaui batas.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 190:
Maksudnya:
"Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas."
Rasulullah s.a.w. pernah terkilan melihat seorang wanita dari musuhnya telah terbunuh dalam satu pertempuran. Maka sejak hari itu, dan hampir setiap peperangan Rasulullah s.a.w. sentiasa mewasiatkan para sahabat agar tidak membunuh kaum wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua yang sudah uzur.
Baginda juga melarang para sahabat menebang pokok atau meruntuhkan bangunan tanpa alasan yang munasabah. Sunnah Rasulullah s.a.w. ini diikuti pula oleh Khalifah Abu Bakar dan khalifah-khalifah seterusnya.
Menyaksikan
Pernah dalam satu peperangan melawan kaum kafir para sahabat memperolehi kemenangan dengan izin Allah s.w.t. dan mereka berjaya membunuh ketua kaum kafir tersebut. Mereka membawa kepala ketua kaum kafir itu ke hadapan Abu Bakar r.a. Abu Bakar r.a. terkejut dan marah melihat benda yang dibawa ke hadapannya itu.
"Apa ini?", katanya. "Ini ialah kepala ketua kaum kafir." "Mengapa kamu penggal kepalanya dan kamu bawa ke hadapan saya?" "Sebab mereka pun berbuat hal yang serupa terhadap para pemimpin kita." "Celakalah kamu, adakah kamu ingin agar kita mengikuti tradisi jahat bangsa Parsi dan Romawi? Demi Allah! Selepas hari ini, jangan ada di antara kamu yang membawa kepala manusia ke hadapan saya!"
Peperangan Dan Jihad Dalam Islam
Dalam istilah bahasa, jihad datangnya dari perkataan ' jaahada' yang bermakna "menggunakan segala usaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu". Dengan istilah ini, kita mungkin berjihad ketika belajar dengan menghadapi peperiksaan. Tetapi "Jihad" dalam definisi syara' hanya boleh membawa satu makna iaitu "menentang orang kafir di
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Saya telah diperintahkan untuk memerangi orang ramai sehingga mereka berkata 'La ilaha illallah muhammadar rasulullah'. Dan sekiranya mereka berkata demikian, maka mereka telah menyelamatkan darah (nyawa) serta harta benda mereka kecuali apa yang hak (dengan sebab)."
Dan Rasulullah s.a.w. juga bersabda:
" Jihad telah wujud semenjak Allah s.w.t. mengutuskan saya dan (berterusan) sehingga yang terakhir di antara ummah saya memerangi Dajjal. Tiada kezaliman (seseorang) yang zalim atau keadilan (seseorang) yang adil akan menghentikannya."
Seringkali Jihad didalam Islam di salah ertikan sebagai suatu ajaran yang menggalakkan keganasan. Apakah sebenarnya konsep Jihad didalam Islam?
Huraian dibawah ini boleh menjelaskan persoalan tersebut.
Peperangan secara umumnya bererti pertikaian di antara dua buah negara atau lebih, di mana pihak-pihak yang terlibat menggunakan kekuatan senjata dengan maksud untuk mengalahkan pihak lawan atau untuk mengenakan syarat-syarat perdamaian ke atas pihak yang kalah mengikut kehendak pihak yang menang. Peperangan dalam Islam adalah dikenali dengan jihad.
Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah At-Taubah ayat 29 berbunyi:
Maksudnya:
"Perangilah orang-orang yang tidak beriman dengan Allah dan Hari Kemudian, yang tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan rasulNya dan tidak pula beragama dengan agama yang benar (iaitu) di antara ahli kitab kecuali mereka membayar jizyah dengan kepatuhan yang rela dan merasa diri mereka ditawan."
Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah At-Taubah ayat 36 berbunyi
Maksudnya:
"Perangilah orang-orang musyrik semuanya, sebagaimana mereka memerangi kamu semua"
Di dalam Al-Quran terdapat 121 ayat yang menyentuh persoalan memerangi orang kafir, perkataan-perkataan Bahasa Arab mungkin membawa pelbagai makna, tetapi dengan ketibaan Islam, beberapa perkataan Arab telah dihadkan maknanya kepada satu istilah sahaja iaitu istilah syara'.
Hakikat keganasan sebenar ialah perlakuan ganas seseorang terhadap orang lain dengan cara batil, atau dengan kata lain merampas dan mengetepikan hak orang lain dengan perbagai cara termasuk membunuh dan sebagainya. Jadi, keganasan itu adalah suatu kezaliman yang besar.
Oleh kerana Islam seringkali dikaitkan dengan pengganas. Maka ta'rif pengganas yang sebenar perlulah diperjelaskan kepada masyarakat umum.
Keganasan adalah suatu tindakan yang melampau yang ditentang oleh semua agama. Islam melarang bukan sahaja keganasan di masa aman bahkan keganasan di masa perang.
Islam juga mengharamkan perlakuan ganas terhadap orang lain. Apabila adanya mayat-mayat orang Islam yang dikelar, yang di cincang, Islam mengharamkan kita bertindak balas seperti perlakuan musuh.
Oleh kerana itu, kita perlu suatu takrif, definisi yang lengkap berhubung dengan keganasan ini. Difahamkan bahawa ada persidangan di Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan tentang keganasan ini. Suatu takrif yang tepat bukan sahaja untuk mengatasi keganasan bahkan bagi mencari punca sebenar keganasan berlaku perlulah dilakukan.
Berkenaan dengan takrif `keganasan', kita khuatir kerana siapa sahaja boleh dituduh menjadi pengganas. Kadang-kadang ada orang yang berjuang untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan, mereka ini biasanya ditakrif sebagai pengganas ,mereka diburu. Sebaliknya sekiranya mereka menang, mereka tidak lagi dikatakan pengganas.
Sebab itu kita perlu suatu ta'rif dan pengertian yang adil dan tepat tentang pengertian sebenar pengganas. Adakah tepat untuk mengatakan bahawa mereka yang memperjuangkan kemerdekaan di negaranya sendiri akibat cengkaman penjajah boleh dicop sebagai pengganas?
Perbezaan Antara Jihad Dan Keganasan
Jihad adalah alat yang digunakan oleh negara Islam untuk menyebarkan serta menyampaikan syi'ar Islam. Ianya digunakan sebagai tindakan fizikal menghapuskan segala halangan kepada dakwah Islam dan dengan cara inilah Islam dibawa keseluruh kawasan negara Islam baik pada zaman Rasulullah mahupun zaman para sahabat dan begitu juga di zaman khulafa' yang seterusnya.
Ianya mempunyai tiga peringkat. Yang pertama, penduduk disesuatu kawasan itu akan diajak memeluk Islam, dan mereka akan diberi tempoh untuk mengkaji dan memahami Islam; sekiranya mereka menolak mereka akan dipelawa menjadi rakyat negara Islam dengan membayar 'jizyah' dan Islam akan diimplimentasikan ke atas mereka, dan mereka akan diberikan hak -hak yang sama seperti mana-mana umat Islam.
Perlulah difahami bahawa jihad hanyalah untuk menghapuskan rintangan terhadap dakwah kepada Islam; bukan untuk menakluk atau memperhambakan mana-mana kaum dan bukan untuk membina empayar dan tidak sekali untuk memaksa seseorang itu memeluk Islam.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Tidak ada paksaan dalam agama..." (Al-Baqarah: 256)
Islam tidak bermaksud untuk mengangkat sesuatu bangsa dengan menjajah bangsa yang lain. Apa yang dipentingkan oleh Islam ialah kebahagiaan dan keamanan manusia seluruhnya.
Untuk tujuan itu, Islam mempunyai teori dan manhaj yang tersendiri. Mana-mana teori dan manhaj yang bercanggah dan cuba menghapuskannya akan ditentang oleh Islam.
Islam mahukan bumi bukan untuk menakluki, menjajah dan memeras kekayaannya. Tetapi apa yang dikehendaki oleh Islam ialah supaya manusia yang berada di atas bumi ini dapat mengekalkan kemuliaan mereka sebagai makhluk yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. seperti firman-Nya dalam Surah Al-Israa' ayat 70 berbunyi:
Maksudnya:
"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.''
Jadi untuk mencapai objektif yang agung ini, maka Islam bersedia menggunakan seluruh kekuatan dan pelbagai cara serta usaha. Perjuangan yang berat ini adalah dikenali sebagai jihad.
Jihad dalam Islam iaitu jihad untuk memberikan kebebasan yang sempurna kepada setiap manusia di seluruh dunia, jihad membebaskan manusia dari memperhambakan diri ('ubudiyah) kepada sesama manusia untuk digantikan dengan pengabdian yang sebenar iaitu memperhambakan diri semata-mata kepada Allah, Pencipta Alam Yang Maha Esa. Inilah alasan untuk jihad. Inilah satu-satunya alasan yang terdapat dalam jiwa setiap pejuang Muslim.
Pernah seorang ketua tentera Parsi yang bernama Rustum bertanya kepada Rabei' bin Amer, Huzaifah bin Muhsin dan Al-Mughirah bin Shu'bah di dalam peperangan Qadisiyah:
"Apakah tujuan kamu ke mari?'' Mereka menjawab: "Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan siapa yang mahu, dari memperhambakan diri kepada manusia, kepada memper-hambakan diri kepada Allah Yang Esa. Mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia ini kepada keluasan-Nya. Mengeluarkan manusia dari kezaliman kepada keadilan . Supaya Rasul itu mengajarkan makhluk Allah dengan agama-Nya. Sesiapa yang menerima cara hidup ini maka kami akan mengembali dan memulangkan negerinya. Tetapi sesiapa yang enggan maka kami akan terus memeranginya sehingga kami syahid ataupun menang.''
Selain daripada itu jihad adalah untuk mengekalkan keadilan dan keimanan di atas muka bumi ini. Ayat berikut ada menyatakan hal ini seperti firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 251 yang berbunyi:
Maksudnya:
"Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini, akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.''
Dalam ayat ini perang dibenarkan dengan tujuan untuk mengelak 'kerosakan bumi', di mana jika perang tidak dilakukan maka muka bumi akan menjadi rosak akibat perbuatan orang-orang yang zalim. Atau dapat dikatakan juga bahawa perang itu perlu sebagai cara untuk menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan.
Firman Allah s.w.t. lagi dalam Surah Al-Hajj ayat 40 - 41 yang berbunyi:
Maksudnya:
"Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.''
Dalam ayat ini pula, jihad itu diperlukan untuk mempertahankan dan mengekalkan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala. Jika perang tidak dilakukan dan tidak dibenarkan, maka keimanan akan pupus dari muka bumi kerana tempat-tempat ibadat dimusnahkan oleh musuh-musuh Allah s.w.t.
Seterusnya ayat ini menyatakan bahawa objektif jihad juga ialah untuk membolehkan orang-orang mukmin menjalankan ibadat mereka kepada Allah, bersembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran dalam masyarakat.
Atau dengan kata lain membolehkan manusia bermunajat kepada Allah, tidak tunduk kepada pengaruh kebendaan dan dapat menegakkan keadilan di kalangan masyarakat. Hanya dengan merealisasikan jihad sahaja kita akan dapat membela agama Islam dari dicabuli oleh musuh-musuh Islam dan juga untuk mempertahankan keamanan bumi dari berlakunya kerosakan.
Apa yang boleh kita saksikan mutakhir ini ialah kekejaman orang-orang
Tindakan Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya,
Inilah hakikat sebenar keganasan yang boleh kita saksikan di abad ini.
Jelaslah kepada kita bahawa Islam ialah agama yang murni. Islam bukan agama keganasan. Ia adalah agama kesejahteraan, keharmonian dan agama perdamaian. Sebarang tohmahan terhadap Islam sebagai ganas adalah tidak benar sama sekali.
Sumber: http://www.muftiselangor.gov.my/E-Book/KoleksiArtikelIstinbat/IslamBukanAgamaKeganasan.htm