http://www.megasutra.com

Bagaimana Membina Persaudaraan Islam

Pendahuluan

Allah S.W.T. menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah S.W.T.menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia.

Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah s.a.w., pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya kepada orang lain. Pesanan Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).'
(Surah ar-Rahman : 1-4)

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa mengungkaikan kalimah-kalimah agar setiap butiran bicara tersebut mendapat, keredhaan Allah.

Adab pergaulan

Berbicara dengan orang perseorangan atau awam sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik dan lain-lain mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah merupakan ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:
Daripada kebaikan iman seseorang ialah meniggalkan apa yang tidak bermakna bagiya.'
(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Orang yang tidak memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah baginya merupakan tanda kejayaan hidupnya sebagai seorang mukmin.

Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:
'Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang tidak berguna.'
(Surah al-Mukminun : 1-3)

Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.

Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.

Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.

Ketiqa: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.

Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.

Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).

Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah.

Pertuturan Dalam Pergaulan

Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor.

Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.

Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah, 'mulut kamu adalah harimau kamu.' Terdapat banyak ayat Al-Qur'an dan hadith Rasulullah s.a.w yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan. Antaranya Firman Allah S.W.T. maksudnya: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya (menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.
(Surah Ibrahim: 24-26)

Maksudnya:
'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke'aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.'
(Surah al-Hujurat:11)

Maksudnya:
'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'
(Surah al-Hujurat:12)

Allah Ta'ala berfirman lagi:

Maksudnya:
Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'
(Surah al-Ahzab : 58)

Maksudnya:
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)

Maksudnya:
'Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.'
(Surah Taha: 43-44)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:

Maksudnya:
'Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur'
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.'
(Riwayat al Tirmidzi)

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya;Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.'
(Riwayat Muslim)

Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya:
'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:
'Bersumber dari Abu Darda' r.a., ia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda 'Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.'
(Riwayat Abu Daud)

Maksudnya:
'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!'
(Riwayat at-Tabarani)

Maksudnya:
Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:
Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya: 'Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.'

Penulisan

Pada zaman ini sikap saling mencela dan mempersalahkan orang lain melalui tulisan sudah menjadi perkara biasa. Tujuannya hanyalah untuk menuduh dan menjatuhkan air muka orang lain yang tidak sehaluan pendapat dengannya, disamping mungkin juga bertujuan untuk mencari populariti.Islam tidak melarang umatnya untuk memberikan pandangan dan kritikan yang bersifat membina apabila melihat sesuatu masalah atau tuduhan yang menyimpang daripada kebenaran. Sikap seperti ini telah ditunjukkan sejak zaman Rasulullah s.a.w hinggalah kepada pemimpin- pemimpin seterusnya.

Walau bagaimanapun,setiap tulisan yang dihasilkan hendaklah merupakan suatu karya yang membina yang dapat menegakkan peradaban masyarakat, sebaliknya bukan untuk meruntuhkannya dengan menggunakan bahasa yang tidak sopan dengan tujuan mencela atau menghina pihak tertentu. Menggunakan bahasa dan daya imaginasi yang tinggi untuk melahirkan sebuah karya sangat disanjung tinggi.Namun, biarlah imaginasi itu ada arah tuju yang baik dan bukan sebaliknya.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: 'Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat-tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong) Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana mereka akan kembali.'
(Surah Asy-Syuara': 224-227)

Ayat ini jelas menolak penulis atau pengkarya yang menggunakan imaginasi dan khayalan tanpa kawalan kerana ia boleh menyebabkan masyarakat keliru dan timbul salah tanggapan terhadap tulisan tersebut:

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya:
'Tidak harus bagi seorang muslim itu menimbulkan ketakutan pada diri saudaranya.'
(riwayat Abu Daud)

Hadith tersebut menghendaki kita menggunakan bahasa yang mudah supaya maksudnya tepat dan tidak menggelirukan pemikiran pembaca. Gaya bahasa yang berbelit-belit, mencemuh, mencarut, menghina dan sebagainya hendaklah dihindarkan kerana ia dilarang oleh Islam berdasarkan firman Allah:

Maksudnya:
Wahai orang yang beriman, takutlah akan Allah. Dan katakanlah kata-kata yang betul nescaya Allah akan menjadikan amalmu baik. Dan akan diampuni-Nya dosa-dosa kamu.
(Surah al-Ahzab: 70-71)

Perdebatan

Dalam pergaulan seharian, kita sering berhadapan dengan perbincangan atau perdebatan tentang sesuatu isu. Islam menggariskan beberapa panduan yang patut diikuti ketika perbincangan atau perdebatan untuk mengelakkan berlakunya perbalahan. Perdebatan tentang agama, politik, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang dilakukan tanpa berlandaskan adab-adab yang dibenarkan oleh syarak, akan mengakibatkan rosaknya agama, kehidupan dan ilmu pengetahuan.Barangkali perdebatan seperti yang mereka lakukan itulah yang mengakibatkan rosaknya kesejahteraan ummat dan lahirnya golongan yang berpecah-belah.

Perdebatan seumpama ini bukanlah pembahasan yang sihat dan bukan pula usaha memperolehi kebenaran dengan cara yang sebaik-baiknya. Ini tergambar apabila para sahabat pernah berdebat antara satu dengan lain tentang sesuatu perkara. Apabila Rasulullah s.a.w. datang, baginda bersabda:

Maksudnya :
'Hai umat Muhammad, berhati-hatilah! Orang sebelum kamu dahulu binasa kerana perbuatan seperti itu. Tinggalkanlah perdebatan kerana orang beriman tidak patut berdebat! Tinggalkanlah perdebatan kerana orang yang berdebat jelas akan memperolihi kerugian! Tinggalkanlah perdebatan kerana perdebatan mendatangkan dosa bagi orang selagi ia berdebat! Pada Hari Kiamat aku tidak akan memberi syafaat kepada orang yang suka berdebat! Tinggalkanlah perdebatan, kujamin tiga buah rumah di dalam syurga: di taman-tamannya,di tengahnya, dan yang di bahagian atasnya tersedia bagi orang yang menjauhkan diri daripada perdebatan dalam keadaan ia benar! Tinggalkanlah perdebatan kerana perkara pertama yang aku dilarang oleh Tuhanku sesudah melarang penyembahan berhala perdebatan.'
(Riwayat At-Tabarani)

Sepatutnya, dalam perbincangan tentang sesuatu isu yang timbul, kita hendaklah mengawal diri dan jangan sekali-kali menyanggah atau menyampuk kata-kata atau pandangan orang lain yang sedang memberikan pandangannya. Ini kerana setiap kata-kata yang kita dengar itu, jika benar, hendaklah kita mempercayainya atau menyetujuinya. Tetapi sekiranya kata-kata atau pandangan yang diutarakan itu salah, maka hendaklah perbetulkan. Itulah sebenarnya cara yang sepatutnya dilakukan ketika kita berdebat atau berbincang,

Bukannya saling cabar-mencabar dan bertikam lidah hingga membawa pertengkaran yang tidak berkesudahan, serta tidak menghasilkan apa-apa keputusan.

Firman Allah S.W.T. Maksudnya:

'...Dan berdebatlah dengan mereka mengikut cara yang terbaik...
(Surah an-Nahl : 125)

Kaedah al-Qur'an Dalam Pertuturan

AI-Qur�an dengan tegas merumuskan bahawa umat Islam secara nyata memiliki ciri-ciri khusus yang membezakan mereka daripada umat lain.

Firman Allah S.W.T

Maksudnya:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik.
(Surah Ali-Imran : 110)

Antara ciri khusus mereka yang paling utama ialah menyuruh melakukan kebaikan, mencegah kejahatan dan beriman kepada Allah S.W.T. Ciri tersebut sangat penting diambil ingatan oleh umat Islam kini khususnya dalam konteks jika mereka mahu membangunkan semula keyakinan diri dan menjadi'umatan wasatan'untuk masa kini dan masa depan.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya:
Dan demikianlah (sebahagian Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu ( wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.(Sebenarnya kiblat kamu ialah Ka'bah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad),melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat itu adalah amat berat (untuk diterima)kecuali kepada orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang (yang beriman).'
(Surah aI-Baqarah : 143)

Walau bagaimanapun apabila ditinjau kepada potensi umat yang ada pada masa kini, kita dapati pertembungan fahaman telah menjadi salah satu halangan besar yang membelenggu mereka untuk hidup bersatu. Bersatu dalam erti kata saling tegur menegur dan menegakkan kebenaran secara berhikmah.

AI-Quran telah meletakkan beberapa kaedah tentang bagaimanakah cara terbaik untuk hidup saling tegur menegur dan bergaul dalam masyarakat. Bagaimanakah cara yang terbaik pula untuk mereka mengembalikan maruah ummah tanpa menjatuhkan orang lain sekaligus berperanan menjadi contoh kepada bangsa lain bahawa kita bukanlah umat yang suka kepada perbalahan dan saling bercakaran.

AI-Quran dalam banyak ayatnya menggesa supaya dibentuk fikiran umum yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan. Semua ini dilakukan demi menjaga kehormatan ummah dan ia perlu melalui kebebasan berfikir dan kebebasan bercakap asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan umum. Antaranya percakapan yang tidak sopan dan ungkapan-ungkapan yang tidak manis didengar.

Berhikmah

Banyak ayat al-Qur'an yang menyuruh manusia supaya mengungkapkan percakapannya dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka itu mendapat perhatian dan tidak menyebabkan orang lari daripada mendengarnya. Allah S.W.T. memberi garis panduan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya bercakap dengan cara yang paling lembut.

Firman AllaLh S.W.T:

Maksudnya:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad),engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (tentang kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya.'
(surah Ali-Imran : 159)

AI-Quran juga memerintahkan umat Islam supaya menolak dan mencegah keburukan dengan cara yang terbaik.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Tidaklah sama antara kebaikan dengan keburukan itu maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik...'
(Surah Fussilat : 34)

Lanjutan daripada ini, kita perhatikan bagaimana al-Qur'an sentiasa menekankan secara berhikmah ketika menyebarkan kebaikan kepada manusia. Dan cara inilah yang sepatutnya dijadikan panduan kepada kita semua,sama ada ketika berkhutbah, berkarya malah dalam apa jua tindakan kita.

Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:
Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampun bagi dosamu dan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan�'
(Surah Muhammad : 19)

Firman Allah S.W.T. lagi:

Maksudnya:
Wahai orang yang berselimut bangunlah dan berilah peringatan dan Tuhanmu agungkanlah,pakaianmu bersihkanlah.'
(Surah al-Muddaththir: 1-4)

Allah S.W.T. juga berfirman:

Maksudnya:
'...Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta'ala � dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi al-Kitab itu dan kamu selalu mempelajarinya.
(Surah Ali-Imran : 79)

Sejak kebelakangan ini telah muncul sindrom orang ramai terhadap menegur kesalahan sama ada kesalahan itu dilakukan oleh individu mahupun oleh pihak berkuasa.

Teguran itu pula dilakukan melalui pelbagai media dan cara. Walaupun sindrom ini baik namun apa yang dikhuatiri jika cara yang digunakannya tidak berhikmah maka penyakit masyarakat semakin bertambah tenat. Ini kerana terdapat antara mereka orang yang tidak mengerti dan memahami cara-cara untuk mempertautkan dan memadukan hati manusia dan tidak memahami perkara~ perkara utama yang lebih bermanfaat bagi umat Islam.

Al-Quran sering menyindir golongan seperti ini lantaran kejahilan mereka menggunakan method berhikmah ketika menegur masyarakat.

Antaranya seperti firman Allah:

Maksudnya:
'Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui'
(Surah al-Araf : 187)

Maksudnya:
'...Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.'
(Surah Hud : 17)

Maksudnya:
'..Maka ceritakan kisah-kisah agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr: 176)

Maksudnya:
'...Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr :21)

Dalam erti kata lain sindiran al-Qur'an ini merujuk kepada sikap kebanyakan manusia yang tidak tahu mengambil pengajaran, tidak menggunakan akal fikiran yang murni, tidak mengamalkan kesyukuran, kurang beriman seterusnya sering bersikap zalim dan jahil dalam memahami aspek kehidupannya.Kesedaran seseorang mukmin sewajarnya sedar bahawa ia perlu menghalakan setiap aspek kehidupannya kepada Allah serta berpandukan al-Qur'an dan as-Sunnah. Sekiranya dia merasai al-Qur'an perlu dijadikan panduan sudah tentu ia akan dapat menjamin pembentukan jiwa,pendidikan hati serta membersihkan akhlak dan tingkah lakunya.

Melalui kesedaran inilah mereka akan dapat membasmi keburukan dalam sesuatu masyarakat yang membawa kepada pergolakan, perselisihan serta mengancam kekuatannya. Hubungan yang tidak putus ini akan dapat membersihkan hati dan perasaan dengki serta permusuhan. Selain daripada itu, banyak lagi ayat al-Qur'an yang menitikberatkan akhlak serta tata susila sebagai satu ibadat yang difardhukan sama seperti ibadat fardhu yang lain. Ini adalah penyelarasan budi pekerti dengan kaedah al-Qur'an yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam kini. Al-Quran sangat menggalakkan seseorang supaya bersifat yang boleh melindungi masyarakat, membersihkan perasaan serta mewujudkan persaudaraan serta perasaan belas kasihan. Al-Quran juga sangat memberi ingatan supaya jangan terlintas sedikit pun untuk mencetuskan keburukan dalam masyarakat.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Sesungguhnya orang yang suka menyebarkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)'.
(Surah an-Nur: 19)

Sekiranya kita perhatikan umat Islam terdahulu, kita dapati mereka telah mengenal hakikat pergaulan secara spontan bahawa masyarakat itu tidak akan wujud kecuali dengan akhlak yang mulia dan budi pekerti yang luhur. Oleh itu, kita dapati mereka banyak menulis bidang yang menyentuh tentang akhlak yang mulia dan budi pekerti yang luhur untuk diwariskan kepada umat yang datang selepas mereka. Mereka menulis dan menyebarkan fikiran yang baik dan dipetik daripada method al-Qur'an dan sunnah Nabi s.a.w. Sesetengah penulisannya berpandukan al-al-Qur'an dan hadith nabi semata-mata seperti Imam Nawawi r.h. Dalam kitab Riadhus Solihin.

Sesetengah penulis pula menjadikan al-Quran dan hadith sebagai dasar. Di samping mereka terus menyerikannya dengan pendapat para ulama' salaf dan menyebut beberapa kisah mereka yang boleh membimbing manusia ke jalan yang lurus dan berakhlak mulia. Antara kitab yang juga sering disebut adalah seperti Ihya' Ulumuddin karya Imam al-Ghazali r.h. Sebutan itu kekal hingga kini kerana kandungannya yang baik dan berjaya mendidik manusia ke jalan yang diredhai Allah.

Sayangnya sesudah mereka, lahir pula kelompok baru dalam zaman yang serba canggih ini. Mereka mula berkiblat ke Barat, menimba cara dan perjalanan hidup Barat hingga berpecah belahlah mereka dalam beberapa perjalanan dan terkecai oleh pengaruh hawa nafsu. Lalu mereka pun rosak dan merosakkan pula orang ramai dengan pendapat dan pandangan mereka yang menyeleweng itu. Hakikat inilah yang telah dilupai oleh kebanyakan generasi umat masa kini, padahal al-Qur'an telah meletakkan kaedah dalam matlamatnya yang wajar dicontohi untuk mendidik akhlak manusia. Kaedah Sebagai contoh, al-Qur'an menitikberatkan pendidikan melalui kaedah contoh teladan. la merupakan cara yang paling berkesan dan paling hampir kepada kejayaan pendidikan. Allah menggambarkannya melalui kebangkitan Rasulullah s.a.w. sebagai teladan kepada manusia.

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.'
(Surah al-Ahzab : 2 1)

AI-Qur'an juga menggunakan nasihat dan peringatan kepada kebaikan dan kebenaran untuk mendidik manusia. Cara ini digunakan agar orang yang dinasihati dapat diselamatkan daripada kesusahan dan kemudharatan serta dibimbing kepada perkara-perkara yang mendatangkan kesan yang baik dan faedah. la perlu disampaikan dengan ikhlas dan amanah tanpa perlu umpatan keji, carutan dan memaki hamun. Inilah yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
'Tugasku menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah bagi kamu.'
(Surah al-A�raf : 68)

Malahan seluruh isi kandungan al-Qur'an menjadi nasihat bagi orang yang beriman dan bertaqwa. Selain daripada itu al-Qur'an juga dalam mendidik manusia telah menggunakan kaedah secara dorongan dan ancaman kepada manusia.

Dari sudut Taghrib (dorongan), al-Qur'an memberikan galakan atau dorongan untuk manusia melakukan kebajikan. Disebut ganjaran baik kepada mereka yang mengamalkan perkara-perkara kebajikan secara sempurna. Ia berkesan dan menimbulkan keinginan dan perasaan mahu melakukan kebajikan dan menghayati sifat-sifat yang dianjurkan oleh al-Qur'an.

Contohnya Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
'Sesungguhnya orang yang bertaqwa ditempatkan dalam taman-taman syurga dan nikmat kesenangan (yang tiada taranya).'
(Surah at-Tur: 17)

Firman Allah S.W.T. lagi:

Maksudnya:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa.'
(Surah Ali-Imran : 133)

Sementara itu, daripada sudut Tarhib (ancaman) pula al-Qur'an menggunakan cara ancaman azab seksa yang akan menimpa sesiapa yang tidak mentaati perintah dan suruhan Allah. Cara ini menimbulkan perasaan takut dan cemas seseorang untuk melakukan sesuatu kejahatan kerana bimbang gejala buruk akan menimpanya. Pendekatan begini biasanya digunakan berkaitan dengan sesuatu larangan Allah. Contohnya dalam firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
'Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji yang mengumpulkan harta dan menghitungnya. Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesugguhnya dia benar-benar akan dicampakkan ke dalam Neraka Hutamah.'
(Surah al~Humazah: 1-4)

Inilah antara cara atau method yang digunakan dalam al-Qur'an sebagai cara untuk mendidik manusia seluruhnya. Ini kerana manusia dengan segala macam tabiat dan sikapnya perlu dihadapi dengan cara bijaksana. Justeru, bagi pendakwah atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam usaha mendidik, menegur atau menginginkan kebaikan wujud dalam masyarakat, dia perlu meneliti realiti yang terdapat di dunia pada hari ini sama ada ekonominya, politiknya atau hal ehwal kemasyarakatannya.

Malahan perlu juga memahami aliran politik dunia moden, gerakan, pemikiran umat Islam, perkembangan setempat, tradisi dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat termasuk nilai dan bahasa masyarakat itu sendiri. Dalam pada itu, suatu aspek yang juga perlu diambilkira adalah dari sudut muslihat musuh-musuh Islam itu sendiri yang sentiasa mencari peluang mengintai sudut-sudut kelemahan yang terdapat pada umat Islam hari ini. Dan apabila kita Ialai, itulah peluang yang terbaik untuk mereka merosakkan umat Islam.

Dalam usaha menghadapi masyarakat daripada terus diracuni oleh nilai-nilai yang tidak bermoral dan untuk menjamin mereka supaya tidak tersisih daripada rahmat Allah maka al-Qur'an menggesa mereka supaya mempunyai sifat-sifat da'ie (pendakwah) serta memahami kaedah al-Qur'an. Ini kerana hanya al-Qur'anlah yang dapat menjaga kesatuan ummah serta melindungi ikatan persaudaraan mereka dalam memerangi golongan yang cuba mencantas kemurniaan hidup bermasyarakat.

Kaedah Rasulullah s.a.w. Mendidik Akhlak

Antara tujuan utama Allah mencipta manusia di muka bumi ini adalah untuk beribadat demi kebahagiaan hidup mereka di dunia dan akhirat.

Firman Allah S.W.T.:

'Dan (ingatlah) Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.'
(Surah az-zariat:56)

Ibadat yang dikehendaki bukan sahaja melakukan ibadah khusus seperti mengerjakan solat lima waktu,berpuasa pada bulan ramadan,menunaikan zakat serta menunaikan ibadat haji di Mekah tetapi merangkumi seluruh aspek kerja manusia bermula daripada bangun tidur hinggalah dia tidur kembali. Tentunya dalam melaksanakan peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah beribadat,manusia berhajat kepada orang yang boleh memberi tunjuk ajar bagaimana hendak melakukannya supaya selari dengan kehendak Allah S.W.T.

Untuk itu,Allah telah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. sekaligus menjadi Rasul terakhir kepada seluruh umat manusia yang memiliki contoh teladan yang terbaik dan hanya satu-satunya yang perlu diikuti kerana setiap kesempurnaan yang ada pada dirinya. Firman Allah S.W.T. :

Maksudnya :
'Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah s.a.w. itu contoh teladan yang baik bagi orang yang mengharap(rahmat) Allah dan (kedatangan)Hari Kiamat�'
(Surah al-Ahzab : 21)

Dan ia diperkuatkan lagi dengan Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya:
'Bahawasanya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.'
(Riwayat al-Bukhari,Hakim dan Baihaqi)

Perangai manusia ada yang baik dan ada yang buruk,maka perangai atau akhlak yang baik inilah yang hendak ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w.

Adab Rasulullah Dalam Berbicara

Apabila Rasulullah s.a.w. hendak memperkatakan sesuatu yang penting dan rumit atau pun jika yang hadir itu terlalu ramai hingga suaranya tidak dapat didengar maka baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali. Jika tidak baginda hanya menyebutnya sekali sahaja.

Sayidina Hasan r.a. meriwayatkan 'Daku meminta ibu saudaraku (sebelah ibu) yang sering menggambarkan sifat- sifat Rasulullah s.a.w. agar dapat menceritakan kepadaku tentang cara dan adab Rasulullah s.a.w. berbicara. Lalu beliau memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. selalu risau (tentang akhirat), sering bertafakkur (tentang Allah dan sifat-sifat-Nya) atau memikirkan keadaan ummah dan lantaran perkara-perkara beginilah maka baginda tidak pernah berasa bebas daripada kerisauan. Sering sahaja baginda berkeadaan diam dan enggan bercakap melainkan atas perkara-perkara yang perlu sahaja. Apabila baginda bersabda maka sabdanya jelas, padat dan ringkas. Setiap percakapannya berbeza daripada yang lain jauh sekali daripada ketidakmusabahan dan kekeliruan). Baginda tidak cepat marah malahan tidak juga menghina orang lain.

Jenaka Rasulullah s.a.w.

Walaupun Rasulullah s.a.w. bersikap tegas terhadap orang yang berbohong tetapi dalam pergaulannya baginda pernah berjenaka dengan sahabat-sahabatnya tetapi tidak berkata dusta. Sebagai contoh, diriwayatkan daripada Hasan Basri r.a. bahawa seorang tua datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata: 'Wahai Rasulullah, tolonglah doakan agar Allah memasukkan daku ke dalam syurga.' Jawab Rasulullah s.a.w., 'Orang tua tidak boleh masuk syurga.' Orang tua itu lantas berlalu dari situ dan mulalah menangis. Kemudian baginda bersabda yang bermaksud; 'Beritahulah kepada wanita tersebut bahawa dia tidak akan masuk syurga dengan umurnya yang telah tua tetapi Allah akan menjadikan semua wanita di syurga anak dara.' Perhubungan para sahabat dan semua orang dengan baginda merupakan hubungan yang penuh dengan kecintaan dan kewibawaan yang sempurna. Baginda tidak pernah berasa besar hati malah tidak rela dengan budi pekerti yang buruk. Kesederhanaan merupakan gambaran keseluruhan kehidupan Rasulullah s.a.w. Inilah suatu pernyataan yang jelas berkenaan kesantunan dan kelembutan tingkahlaku Baginda s.a.w.

Kesan Kesilapan Berbicara

Amalan fitnah menfitnah, memburukkan orang lain, menghina, mengejek,,mengumpat, berbohong dan sebagainya memberi kesan negatif kepada kejiwaan para pelaku dan penerima. Bagi pelaku, amalan tersebut akan menanamkan sifat yang dicela seperti sombong, riak, dengki dan khianat. Seseorang yang memiliki sifat-sifat tercela seperti ini sudah semestinya tidak akan dapat menjadi contoh yang baik kepada orang lain sedangkan Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:
'Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh mengerjakan kebajikan dan melarang melakukan kejahatan... '
(Surah Ali-Imran : 110)

Sifat tersebut yang merupakan warisan sifat-sifat Iblis laknatullah tidak selayaknya dimiliki apatah lagi disemai dalam diri seseorang yang bergelar muslim. Dr. Abdul Karim Zaidan menyifatkan sifat-sifat ini sebagai sifat-sifat orang munafik. Bagi yang menjadi mangsa fitnah, ejekan, penghinaan dan sebagainya akan mengalami tekanan perasaan dan gangguan mental. Pertuturan berupa fitnah, umpat, dusta dan sebagainya yang berterusan akan memanjang dan memberatkan lagi beban tekanan kejiwaan yang terpaksa ditanggung oleh si mangsa. Ini seterusnya mengganggu konsentrasi penerima dalam melaksanakan tanggung- jawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

Gangguan seperti ini sememangnya tidak dikehendaki oleh Islam iaitu agama yang memberi rahmat dan kesejahteraan kepada sekalian manusia. Keunggulan Islam bukan hanya dari sudut aqidah, ibadat, syariat dan muamalat sesama manusia sahaja bahkan menjamin ketenangan dan kedamaian kepada jiwa insan itu sendiri. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan 'rahmat' dalam firman Allah:

Maksudnya:
'Tidak Aku utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam'
(Surah al-Anbiya': 107)

Menggagalkan

Pertuturan yang penuh dengan lafaz-lafaz penghinaan, pendustaan, ejekan, fitnah, mengadu domba, kejian dan sebagainya bukan sahaja mencacatkan usaha dakwah yang dijalankan bahkan menggagalkannya sama sekali. Islam sama sekali tidak pernah merestui amalan sedemikian kerana prinsip Islam ialah sesuatu yang baik itu mesti dicapai dengan cara yang baik juga. Kaedah usul fiqh ada menyebut: 'Matlamat tidak menghalalkan cara.' Di samping itu, Allah S.W.T. mengajarkan kita supaya melakukan dakwah, secara hikmah. Hikmah yang dimaksudkan ialah bijaksana dalam memilih kaedah dan pendekatan sama ada dari segi tutur kata, perbuatan,akhlak dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
'Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik..
(Surah an-Nahl : 125)

Menggunakan pendekatan dakwah yang lain daripada Islam khususnya dari segi pertuturan akan menjauhkan lagi manusia dari cahaya kebenaran Islam. Inilah yang dinyatakan dalam firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
'...Sekiranya kamu bersikap keras lagi berkasar tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekeliling mu�'
(Surah Ali-Imran : 159)

Imej Islam

Seseorang muslim yang membiasakan diri melafazkan kata-kata yang penuh dengan unsur-unsur fitnah, penghinaan, keji, kotor, dusta dan sebagainya akan memberi kesan yang buruk kepada kemuliaan dan keagungan agama Islam. lmej Islam akan terpalit lantas disalah anggap sebagai satu-satunya agama yang merestui segala pertuturan yang jahat dan kotor yang lazimnya tidak diterima oleh fitrah dan akal manusia. Seseorang yang mengamalkan sifat sedemikian bukan sahaja menyalahi adab kesopanan malah mencemar kesucian agama Islam. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa mereka telah mengkhianati perjuangan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat dan seluruh pejuang Islam yang terdahulu yang telah memertabatkan kesucian agama Islam tanpa mengenepikan sedikitpun adab-adab yang dibenarkan oleh Islam.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
'Jika mereka berangkat bersama~sama kamu nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka dan tentu mereka akan bergegas-gegas maju ke hadapan di celah~celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan antaramu sedang antara kamu ada orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang yang zalim. '
(Surah at-Taubah : 47)

Perpaduan Ummah

Masyarakat yang hidup dalam suasana fitnah menfitnah, bergelumang dengan kata nista, berbudaya hina menghina dan keji mengeji adalah masyarakat yang tidak bersatu padu, tiada persefahaman dan pencetus kepada perpecahan. Islam merupakan agama keamanan, kedamaian, keharmonian dan perpaduan telah menetapkan garis panduan yang jelas dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Antara garis panduan tersebut ialah melarang sebarang pertuturan yang berunsur fitnah, dengki, penghinaan, dusta dan kotor yang boleh membawa kepada pertengkaran sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:
'Jangan kamu memutuskan hubungan, tidak bertegur sapa, membenci dan berhasad dengki. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Islam tidak menegur saudaranya lebih daripada tiga hari.'
(Riwayat al-Bukhari)

Ketegasan Islam dalam mempastikan perpaduan wujud dalam masyarakat dikuatkan lagi dengan mengenakan hukuman tertentu kepada mereka yang mencetuskan perpecahan atau perselisihan khasnya melalui pertuturan atau percakapan. Antara hukuman tersebut hukuman sebat 80 kali ke atas mereka yang menuduh isterinya atau orang yang beriman melakukan zina tanpa sebarang saksi dan bukti dan juga hukuman takzir ke atas mereka yang melakukan penipuan, saksi palsu, menfitnah, menganggu wanita di jalanan dan sebagainya. Pendek kata,kesungguhan Islam dalam melahirkan umat Islam yang hidup bersatu padu bukan setakat seruan semata-mata malah diikuti dengan penetapan undang-undang dan hukuman bagi menjamin terlaksana dengan jayanya.

Oleh itu, mereka yang memecahbelahkan perpaduan masyarakat Islam melalui percakapan berbau fitnah,dengki, jahat dan keji bukan sahaja menentang kesatuan dan perpaduan umat Islam malah menentang ajaran yang dianjurkan Islam itu sendiri yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Menggugat Ummah

Berleluasanya budaya fitnah memfitnah, caci mencaci, penipuan, tuduh menuduh dan sebagainya dalam masyarakat Islam akan menggugat kekuatan ummah terutama dalam menghadapi ancaman pihak musuh Islam.Pertelingkahan dan perpecahan yang wujud hasil daripada pertuturan yang ditegah oleh Islam ini sememangnya dinanti-nantikan oleh musuh Islam yang sentiasa menunggu peluang memporakperandakan kesatuan dan kekuatan umat Islam. Ini seterusnya membuka peluang kepada mereka memperkotak-katikkan umat Islam mengikut telunjuk mereka sehingga hilang segala kemegahan dan kemuliaan budi lalu bertukar kepada kehinaan dan kemunduran dalam pelbagai bidang kehidupan.

Umat Islam tidak mungkin dapat menghadapi musuh- musuh Islam yang sentiasa berganding bahu setiap kali berhadapan dengan umat Islam selagi wujud anasir-anasir yang memecahbelahkan kesatuan dan kekuatan umat terutama melalui pertuturan yang menyalahi ajaran Islam. Menjauhi amalan-amalan sedemikian sangat penting dan amat terdesak dalam persediaan umat Islam menghadapi musuh Islam yang semakin canggih, bersatu padu dan bijak.

Kesimpulan

Kebolehan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Setiap perbicaraan adalah hasil luahan daripada hati seseorang yang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya.

Islam telah menggariskan tatacara adab bicara. Antaranya tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling salah menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mencarut, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk,mengumpat hingga mengaibkan sesama Islam.

Dalam berkarya, seseorang hendaklah menghasilkan karya-karya yang membina serta dapat menegakkan peradaban masyarakat. Sebaliknya, bukan menggunakan bahasa yang tidak sopan dengan tujuan menyindir,mencela dan menghina pihak-pihak yang tertentu.

Islam juga meminta umatnya mengawal diri dalam mengadakan perbincangan dan perdebatan dan setiap pandangan yang benar hendaklah diterima dan dihormati. Sebaliknya, jika pandangan itu salah hendaklah diperbetul dan ditegur secara baik. Bukannya saling cabar mencabar dan bertikam lidah hingga membawa kepada pertengkaran yang tidak berkesudahan serta tanpa menghasilkan apa-apa keputusan.

Islam telah menentukan kaedah dalam pertuturan iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan, mengungkapkan percakapan dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka mendapat perhatian dan menarik pendengarnya. Kejahilan menggunakan kaedah berhikmah menyebabkan penyakit-penyakit masyarakat sukar dibasmi dan dihapuskan. Malah, akan meletakkan masyarakat dalam keadaan tidak mengerti dari memahami peradaban Islam sebenarnya.

Amalan menfitnah, memburuk-burukkan orang lain, menghina, mengejek dan mencarut akan memberi kesan negatif kepada kejiwaan pelaku dan penerima. Ini merupakan warisan sifat-sifat iblis dan tidak layak dimiliki oleh seseorang yang bergelar muslim. Amalan ini juga mencacatkan usaha-usaha dakwah malah menggagalkannya sama sekali. Seseorang muslim yang selalu mengamalkan sifat-sifat demikian bukan sahaja berdosa malah mencemar kesucian agama Islam serta akan melahirkan umat Islam yang tidak bersatupadu dan berpecah belah.

*Teks khutbah Jumaat oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia disampaikan di Masjid Negara pada 7 Mei 1999

HUBUNGAN SESAMA MANUSIA*

Para Jemaah Yang Terhormat,

Marilah sama-sama kita pastikan diri kita agar tersenarai dalam golongan orang yang bertakwa kepada Allah S.W.T. dalam erti kata mematuhi perintah Tuhan dan meninggalkan larangan-Nya. Ini kerana cara yang demikian sajalah untuk kita sebagai hamba Allah yang tinggal dimuka bumi-Nya dapat hidup dan kita Ialui dengan penuh kenikmatan dan keberkatan. Dengan bertakwa kepada Allah S.W.T. sahajalah kita semua, Insya'Allah dapat mencapai matlamat hidup iaitu keredhaan Allah S.W.T.

Untuk mempastikan diri kita menjadi hamba Allah yang baik atau dengan tepatnya menjadi 'khalifahtullah' di atas muka bumi ini, kesempurnaannya amat bergantung kepada sejauh mana seseorang itu mampu mengharmoniskan hubungannya dengan Yang Maha Pencipta Allah S.W.T. dan juga sejauh mana kemampuan seseorang itu menserasikan hubungannya dengan sesama manusia. Inilah yang menjadi titik tolak dalam kehidupan insan muslim mukmin yang beriman dengan Allah S.W.T. Inilah yang Tuhan firmankan dalam al-Qur'an:

Maksudnya:
'Ditimpa kehinaan mereka walau di mana mereka berada melainkan berjaya berpegang dengan agama Allah S.W.T. dengan menghubungkan diri dengan Allah S.W.T. dan juga berbuat baik sesama manusia..'
(Surah Ali-Imran: 112)

Alhamdulillah, agama Islam yang kita anuti ini, begitu prihatin dan telah menyusun adab-adab serta disiplin- disiplin hubungan yang diperlukan sebagai pra-syarat kepada kesempurnaan kita untuk menjadi khalifah Allah S.W.T. Islam telah menyusunnya dengan begitu terperinci satu persatu dengan tujuan mempastikan supaya kehidupan hamba Allah itu berjalan dengan penuh harmoni,dengan penuh selesa,dengan penuh damai dan jayanya. Disusun begitu rupa bermula daripada beberapa adab dan disiplin yang begitu banyak yang antaranya disusun adab-adab berkeluarga, adab-adab kehidupan berumah tangga, adab bersuami isteri dan adab beranak pinak. Ini semata-mata bertujuan agar keluarga itu dapat mengecapi kebahagiaan sebagaimana yang diungkapkan 'Baiti Jannati', Rumahku Syurgaku. Kemudian disusun pula dengan adab-adab berjiran tetangga atas dasar hormat-menghormati supaya kehidupan sekampung dan sehalaman itu selesa berbahagia agar tidak bersengketa antara satu dengan yang lain. Islam juga tidak cuai dalam menyusun adab dan disiplin hubungan antara sesama umat Islam,yang bermatlamatkan untuk benar-benar dapat merealisasikan apa yang Allah S.W.T. firmankan dalam al-Qur'an:

Maksudnya:
'Sesungguhnya orang yang mukmin itu bersaudara di antara satu dengan yang Lain.'
(Surah al-Hujurat : 10)

Tidak juga dicuaikan oleh Islam di mana disusun adab-adab dan perhubungan antara orang Islam dengan bukan Islam yang berteraskan kemanusiaan sebagai merealisasikan apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T.dalam al-Qur'an;

Maksudnya:
'Wahai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
(Surah al-Hujurat: 13)

Ini telah dijelaskan dalam al-Qur'an. Selain daripada itu, disusun oleh Islam berbagai-bagai adab yang lain hatta adab bertegur sapa, melarang, menasihat dan berdakwah yang semuanya ada disiplin dan ada adab yang telah ditetapkan oleh Islam, supaya dapat dilaksanakan dengan penuh harmonis dan dengan penuh selesa, sehinggakan apabila Allah S.W.T. memerintahkan Nabi Allah Musa a. s. dan Nabi Allah Harun a.s. supaya pergi kepada Firaun dengan firman-Nya:

Maksudnya:
'Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia telah melewati batas kekufurannya. Maka kamu berdua bercakaplah padanya dengan kata-kata yang lemah-lembut mudah-mudahan dia akan ingat dan takut akan Allah S.W.T.'
(Surah Taha: 43-44)

Hingga begitu rupa sekali walaupun Firaun itu memang ternyata kufurnya, memang ternyata tergelincir daripada landasan yang sebenar, tetapi masih lagi dipentingkan adab bagi Nabi Musa a.s. dan Harun a.s. untuk menyeru Firaun supaya kembali ke jalan Allah.

Begitulah pendekatan yang digunakan dalam Islam untuk menserasikan, melunaskan dan mewujudkan keharmonian antara manusia dengan manusia di samping hubungan manusia dengan Allah S.W.T.

Para Jemaah yang terhormat,

Khatib berasa terpanggil untuk menjelaskan perkara ini, kerana terdapat kekeliruan yang diketengahkan di tengah- tengah masyarakat hingga menyebabkan masyarakat terpinga-pinga dan terkeliru dengan beberapa keadaan yang menjejaskan maruah umat Islam dan juga imej Islam itu sendiri. Dikatakan bahawa untuk menyampaikan sesuatu mesej itu, Islam membenarkan kita menggunakan cara yang kasar, cara menggunakan maki hamun, cara menggunakan mencarut atau sebagainya, apakah begitu? Apakah benar begitu? Kalau kita terima kenyataan ini,kalau kita katakan bahawa Islam itu membenarkan cara maki hamun, cara mencarut, atau sebagainya untuk menyampaikan mesej, tidakkah itu bertentangan dan bercanggah dengan nas-nas yang sarih, dengan nusus-nusus Islamiah yang terang, tidakkah ia bercanggah dengan apa yang Tuhan firmankan dalam al-Qur'an:

Maksudnya:
'Dan hendaklah kamu berkata kepada manusia itu dengan kata-kata yang baik (dengan kata-kata yang lembut dan tidak menyakitkan hati.'
(Surah al-Baqarah : 83)

Ini firman Allah S.W.T, kalau kita terima pandangan bahawa Islam itu membenarkan kita berkasar, kita mencarut, tidakkah itu bertentangan dengan apa yang Nabi kita Muhammad s.a.w. tegaskan dalam hadithnya:

Maksudnya:
'Awasilah kamu kata-kata yang kotor, maka sesungguhnya Allah Ta'ala tidak suka (dalam erti kata benci), dengan kata-kata yang kotor dan mereka yang berperangai kotor.'

Kalau kita terima kenyataan yang kita katakan tadi, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi sabdakan:

Maksudnya:
'Bukankah sebenarnya orang yang beriman,mereka yang mencaci cela dan melaknat yang mengeluarkan kata-kata kotor dan mengeluarkan kata-kata yang hina.'

Kalau kita terima kenyataan yang kita katakan tadi, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi sabdakan:

Maksudnya:
'Memaki hamun orang mukmin itu, adalah satu perkara yang tergelincir, rosak dan pembunuhannya itu adalah kekufuran.'

Kalau kita terima, Islam itu membenarkan kita berkata sewenang-wenangnya, tidakkah ia bercanggah dengan apa yang Nabi sabda dalam hadithnya:

Maksudnya:
'Berbahagialah mereka yang dapat menahan dan mengawal lebihan daripada lidahnya yang terlampau lancang, hingga mengeluarkan kata-kata yang lucah dan carut marut.'

Kalau kita terima bahawa insan membenarkan dakwaan mengatakan kita boleh berkata sewenang~wenang walaupun dalam bentuk tidak begitu sopan, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi katakan dalam hadith:

Maksudnya:
'Sesiapa yang beriman dengan Allah dan beriman pada Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata dengan kata-kata yang baik atau kalau tidak dapat melakukannya, lebih baik bendiam sahaja.'

Kalau kita terima bahawasanya kita boleh lakukan carut mencarut, maki hamun dan sebagainya tidakkah bercanggah dengan apa yang Nabi sebutkan dalam hadithnya:

Makksudnya:
'Cukup atau memadai, seseorang itu dikatakan jahat, apabila dia memandang hina, merendah-rendahkan saudaranya Muslim yang lain.'

Kalau kita terima kenyataan yang seperti itu, tidakkah ia bercanggah dengan hadith Nabi:

Maksudnya:
'Tidak wajar dan tidak harus bagi seseorang mukmin itu memandang saudaranya dengan pandangan yang menyakitkan hati.'

Kalau kita terima juga kenyataan itu, bagaimana pula sabda Nabi kita Muhammad s.a.w.:

Maksudnya:
'Tidak lurus seseorang hamba itu, melainkan lurus hatinya. Dan tidak lurus hatinya melainkan lurus lidahnya dapat memelihara daripada kata-kata yang keji dan tidak masuk syurga seseorang itu yang sentiasa tidak lepas daripada mengganggu gugat jiran tetangganya.'

Inilah para jemaah yang dihormati, akibat atau implikasi andaikata kita terima kenyataan yang sebegitu rupa, yang jelas kelihatan kepada kita merosakkan umat Islam itu sendiri bahkan merosakkan imej Islam itu sendiri.

Para Jemaah yang dihormati,

Tidak ada salahnya kita berlainan pendapat, tidak ada salahnya kita berbeza pandangan, kerana itu lumrah hidup manusia. Tetapi sejauh mana mampu kita mengendalikan perbezaan itu untuk memastikan ia benar-benar berada dalam keadaan baik, benar-benar diasaskan dengan pertimbangan yang rasional dan benar-benar tidak diruntuni sebarang sentimen. Malah, walaupun berbeza- beza pendapat, hingga kalau perlu kepada perdebatan dan perbahasan pun Islam mengatur disiplinnya. Bukankah Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya:
'....Bermujadalahlah, berdebatlah atau berbahaslah kamu dengan mereka itu dengan cara yang lebih jitu yang terlebih baik, yang terlebih lunak... '
(Surah an-Nahl : 125)

Inilah yang harus kita fikirkan kalau kita terima kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan imej umat Islam itu sendiri.

Para Jemaah yang dihormati,

Persoalannya, apakah kita perlu, dalam menyampaikan sesuatu mesej itu, kita mesti mengikut rentak-rentak orang. Apakah untuk menyampaikan satu-satu mesej itu, kita perlu mengikut, meniru cara orang Barat. Orang Barat memanglah hidupnya begitu lepas, tidak tahu dibezakan yang mana baik dan buruknya lagi. Apakah kita perlu meniru begitu kalau kita ingin menyampaikan sesuatu mesej? Maka kita harus tiru mereka, tutur kata lucah mereka, tutur kata yang jijik, tutur kata yang cemar? Kemudian harus dianggap cara itu tinggi nilai seni dan tinggi nilai sastera. Lantas dipertahankan pula, dengan menyatakan, itu adalah cara terbaik oleh kita. Bukankah yang demikian itu hanya memperlihat betapa dalamnya sentimen diri, yang mendorong kepada fanatik atau ta'asub.Harus diingat, apabila sentimen menguasai diri, mata kita akan gelap melihat segala-galanya. Bak kata ungkapan, 'mata musuh gelap menimbang kebaikan, mata kawan buta melihat kesalahan. 'Lantas menghasilkan pula ungkapan 'Perbuatan kita benar belaka, perbuatan orang salah semua'.

Inilah yang harus kita pertimbangkan dan harus kita fikirkan. Khatib menarik perhatian semua ini dengan harapan tidak usah kita tersasul dan tidak usah kita terbabas dan melatah. Sesuatu yang terang bercanggah dengan ajaran Islam kita katakan itu daripada Islam.Janganlah kita termasuk dalam golongan apa yang Allah S.W.T. firmankan:

Maksudnya:
'... Usah memperdagangkan ayat-ayat Tuhan itu dengan begitu murah harganya...'
(Surah al-Baqarah: 41)

Usah diseret Islam menuruti kita. kita harus menuruti Islam. Janganlah semudah itu untuk kita katakan atas nama Islam, boleh segala-gala. Boleh kita lakukan, boleh kita memaki hamun atas nama Islam, boleh kita mencaci atas nama Islam, boleh kita menggelar orang itu dan orang ini dengan berbagai-bagai gelaran yang tidak direlai oleh orang yang empunya diri. Persoalannya, harus kita merenungkan perkara ini. Mana budi bahasa kita, mana sopan santun kita, mana resam timur kita, mana adat Melayu kita, mana budi perkerti kita, mana akhlak kita? Hinggakan bukan sahaja menjatuhkan maruah atau imej kita, malah orang yang bukan Islam pun timbul kekeliruan, apa sudah jadi dengan umat Islam yang dahulunya mengatakan bahawa Islam tidak membenarkan mengeluarkan kata-kata kotor, lucah dan sebagainya tetapi sekarang sudah sebaliknya.

Bukankah ini menimbulkan kekeliruan yang merugikan orang Islam dan agama Islam itu sendiri. Apakah wajar kita samakan carut marut ini dengan firman Allah S.W.T. Apakah benar itu ajaran Islam? Bukankah Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya:
'Wahai orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu mengeji atau memperolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi orang yang mereka perolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka dan jangan pula wanita-wanita memperolok- olokkan wanita yang lain kerana boleh jadi mereka lebih baik daripada wanita-wanita itu...'
(Surah al-Hujurat : 11)

Inilah yang harus kita fikirkan apa yang Tuhan tarik perhatian kita itu. Apakah sanggup kita tukarkan format tarbiah kita? Rata-rata sejak datuk nenek kita sehingga sekarang mendidik anak-anak kita supaya jangan mengeluarkan kata-kata yang kasar, jangan keluarkan maki hamun. Tersasul dari mulut anak mengeluarkan perkataan yang tak senonohpun, kita cubit mulut anak itu kerana ia tidak wajar diucapkan.

Itu dia format didikan kita, itu dia cara didikan kita. Apakah kita mahu tukarkan pula dengan pendekatan pendidikan atau methodologi pendidikan dengan cara, gaya dan budaya carut mencarut serta maki hamun ini?Inilah yang harus kita renung. Inilah yang harus sama-sama kita fikirkan. Semoga Allah S.W.T. akan memberi taufiq dan hidayah kepada kita kerana kalau cara ini berterusan, cara ini kita amalkan, maka ternyata sekali pemikiran kita sudah gersang. Apabila pemikiran kita sudah gersang, tamadun akan pincang dan akan membawa kita kecundang. Nauzubillahi min zalik.

[Ruzita Binti Mokhtar]
Editor : PRO JAKIM [Zakaria Bin Othman]
http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=494