http://www.megasutra.com

Fahami Syariah Secara Menyeluruh

Memahami syariah Islam secara global amat penting agar kita tidak menjadi seperti kisah klasik; tiga si buta yang mahu bercerita tentang gajah. Salah seorang daripada mereka yang memegang kaki gajah mengatakan gajah berbentuk seperti tiang. Si buta kedua yang memegang ekor gajah mengatakan gajah berbentuk seperti tali. Manakala seorang lagi yang memegang belalai gajah mengatakan gajah berbentuk seperti batang paip. Kisah ini menggambarkan implikasi jika kita mahu berbicara mengenai sesuatu yang masih samar, tidak jelas dan tidak dilihat dari skop yang lebih luas dan sempurna.

Begitulah dalam memahami dan mengamalkan Islam. Kita sewajarnya memahami Islam secara menyeluruh, sebelum beramal dan bercakap mengenai Islam. Mujtahid semasa, Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam khutbah yang dipetik dari laman web rasmi beliau sentiasa berpesan kepada masyarakat Islam umumnya, dan khususnya kepada para mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) agar berusaha untuk memahami Islam dengan cara yang baik. Ini kerana beliau melihat kesan yang amat teruk andainya Islam gagal difahami secara tidak sempurna oleh penganutnya, lebih-lebih lagi mereka yang mendalami pengajian Islam.

Islam adalah cara hidup seimbang yang mengutamakan pembangunan intelektual, material dan jiwa, wajar dimanifestasikan mengikut objektifnya yang sebenar. Untuk itu, tidak cukup bagi kita sekadar berbicara tentang kehebatan Islam tanpa kita sendiri memahami dengan jelas bagaimanakah Islam yang sebenar.

Syariah Islam tidak boleh dilihat dalam satu skop sahaja, contohnya ibadah sahaja, atau undang-undang jenayah sahaja. Ia mesti dikenali dan difahami secara menyeluruh merangkumi aspek-aspek asas, sifat-sifat syariah bahkan memahami keutamaan (awlawiyyat) dalam hukum Islam. Cukuplah sejarah pergeseran umat Islam silam sebagai bukti bahawa implikasi tidak memahami syariah dengan sempurna adalah sangat buruk. Pergeseran dan perpecahan selalunya berpunca daripada mereka yang memahami Islam secara mendatar, tidak komprehensif diambil dari skop tertentu sahaja.

Hal ini kerana mereka melihat Islam hanya tertakluk kepada aspek-aspek hukum sahaja, sedangkan hukum-hukum fikah dalam Islam sentiasa berubah-ubah mengikut kesesuaian tempat dan masa. Mereka yang tidak ada asas dalam proses penerbitan hukum fikah sudah tentu sukar menerima kenyataan bahawa hukum fikah tidak semestinya sama di seluruh dunia dan atau tidak berubah sepanjang masa. Bagi mereka, hukum fikah yang telah dikeluarkan oleh ulama yang mereka kagumi perlu diikuti oleh semua orang.

Dari sinilah juga lahir orang-orang yang dikatakan melampau dalam melaksanakan syariah dalam kehidupan. Mereka bukan sahaja mengamalkan secara membuta-tuli segala yang diterima daripada seseorang tokoh, bahkan mereka tidak cuba menggunakan akal untuk merasionalkan amalan mereka ini selaras dengan kehendak nas dan semangat syariah itu sendiri. Golongan inilah yang telah diberi amaran oleh Rasulullah supaya kita berwaspada. Sabda baginda dalam sebuah hadis:

Awaslah dengan sikap melampau dalam beragama. Sesungguhnya umat terdahulu telah hancur akibat sikap melampau dalam beragama!'' Dalam sebuah hadis lain Rasulullah mengulang-ulang, Hancurlah mereka yang melampau, hancurlah mereka yang melampau, hancurlah mereka yang melampau! Islam sebetulnya menggalakkan umatnya beramal dengan ajaran Islam. Namun Islam tidak mahu mematikan rasional dalam amalan. Islam sebenarnya menyuruh umatnya memahami agama, lalu mengamalkan agama. Barulah amalan mereka bebas daripada unsur fanatik serta bidaah yang boleh menyesatkan akidah.

Selain itu, menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi, satu lagi impak yang saling berlawanan akibat gagal memahami Islam dengan baik, iaitu golongan yang melihat Islam hanya sekadar aspek ritual sahaja. Islam mereka cuma sebelah malam bersembahyang di masjid, tetapi kerja-kerja seharian mereka terpisah dengan Islam. Persoalan aurat, batas pergaulan, akhlak dan hukum-hukum lain dilihat terpisah daripada tugas-tugas seharian. Sebab itu masih ada mereka yang mendedahkan tubuh badan tetapi masih mampu berkata bahawa mereka sedang mencari rezeki yang halal. Tanpa mereka sedari bawah perbuatan mereka bukan sahaja bertentangan dengan nas hukum tetapi bertentangan juga dengan semangat syariah yang mahu menjaga kemaslahatan masyarakat.

Dalam aspek yang lain, kegagalan memahami syariah boleh menyebabkan ada yang cenderung menggunakan akal secara keterlaluan dalam penilaian hukum. Penilaian mereka ini lebih cenderung kepada penggunaan akal semata-mata tanpa merujuk pentafsiran oleh Rasulullah s.a.w. Sekali pun mereka mengikuti al-Quran, namun mereka mentafsirkan al-Quran itu berasaskan kepada akal mereka semata-mata tanpa panduan hadis Rasulullah s.a.w. Daripada aliran inilah juga lahirnya golongan anti-hadis atau anti-sunah. Golongan ini menolak sunah atau hadis nabi, dengan alasan bahawa sebarang perbuatan atau perkataan Nabi s.a.w. hanyalah sesuai untuk zaman itu sahaja.

Justeru, di mana kita? Di mana Islam yang sebenar? Islam yang sebenar berada di tengah-tengah antara dua ekstrim itu. Untuk berada antara dua ekstrim tadi, satu bentuk kefahaman yang menyeluruh diperlukan. Sebagaimana kata Dr. Yusuf al-Qardhawi, ``Sebelum berbangga dengan kehebatan syariah Islam, fahami dulu syariah Islam dengan kefahaman yang sempurna dan menyeluruh, bukan kefahaman yang separuh-separuh atau dari sudut-sudut tertentu.''

Seseorang yang ingin memahami Islam perlu pertamanya memahami prinsip-prinsip dan ciri-ciri utama agama Islam. Dalam Islam terdapat prinsip yang tidak boleh menerima perubahan dan terdapat juga unsur fleksibel yang boleh berubah mengikut kesesuaian tempat dan keadaan. Untuk mengenalinya pula, kita perlukan pengetahuan tentang sumber-sumber syariah Islam, kaedah memahami sumber, serta kaedah mengelakkan pemahaman yang saling bercanggahan antara dalil dalam dalam sumber syariah Islam.

Pemahaman dalil boleh memberi implikasi terhadap pengamalan Islam. Kita akan mampu melihat hukum-hukum Islam mengikut susunan keutamaan yang betul. Hukum yang lebih penting wajar diutamakan, dan hukum yang lebih mendesak perlu disegerakan. Hukum yang kurang penting perlu dilaksanakan tetapi memerlukan kaedah yang tepat agar ia nanti terlaksana berasaskan kehendaknya yang sebenar.

Selain daripada itu, sejarah perkembangan hukum Islam juga mesti difahami dan dihayati agar kita dapat melihat dengan jelas bagaimana hukum-hukum Islam berkembang bermula dalam sistem masyarakat yang kecil pada zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah kepada kompleksiti komuniti zaman sekarang. Sejarah tokoh-tokoh silam perlu diketahui dan diselidiki. Boleh dikatakan dalam sejarah tokoh mazhab fikah, tidak ada seorang pun tokoh ini yang bersifat taksub dengan pandangan sendiri. Bahkan mereka ini sentiasa terbuka menerima kritikan dan tidak menjadikan pendapat mereka itu mutlak untuk semua masyarakat. Mereka juga melarang pengikutnya daripada mengikuti pendapat mereka secara membuta tuli tanpa menyelidiki nas daripada teks sumber syariah Islam itu sendiri.

Pemahaman yang baik terhadap syariah akan membuahkan keseimbangan pemikiran serta hanya dengan ini Islam sebagai umat pertengahan dapat dilahirkan. Hanya masyarakat yang berada pada tahap pertengahan dan seimbang sahaja dapat menilai sesuatu kebenaran dan kebatilan dengan cara yang baik. Firman Allah: Dan demikianlah Kami jadikan kamu wahai umat Muhammad satu umat pertengahan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)... (Al-Baqarah: 143)

Cuba andaikan anda berada dalam sebuah bulatan. Posisi yang terbaik anda melihat semua sisi pada jarak yang sama sudah tentu adalah pada titik tengahnya. Begitulah dalam kehidupan, Islam mahukan umatnya berada dalam posisi terbaik yang bukan sahaja dapat menilai sesuatu dengan seimbang, bahkan mampu mengawal masyarakat seluruhnya andainya mereka berjaya mencapai kedudukan strategik.

Mencari kedudukan yang strategik memerlukan kesungguhan dan komitmen berterusan serta niat yang ikhlas dan suci. Andainya si buta memegang gajah dengan lebih lama, menyentuh semua anggota gajah sebelum berbicara tentangnya, sudah tentu dia dapat gambaran yang lebih baik tentang gajah. Namun andainya kita tidak ada kemampuan untuk mendalami asas-asas Islam, beramallah setakat yang termampu dan lebih baik diam daripada berbicara tentang apa yang kita sendiri tidak faham.

Sumber: Ahmad Sufyan Che Abdullah
http://www.extro.biz/portal/modules/smartsection/makepdf.php?itemid=14.