http://www.megasutra.com

Filem Lucah Racuni Remaja

Gejala menonton filem lucah di kalangan remaja sudah menjadi perkara yang tidak boleh diselindung lagi. Gejala ini merupakan antara rentetan salah laku sosial yang melibatkan remaja. Dan ia mempunyai kaitan akrab dengan masalah sosial remaja yang lain. Dalam satu soal selidik yang membabitkan remaja berusia antara 13 hingga 21 tahun mendapati seramai 40 peratus remaja terbabit pernah menonton video lucah. Remaja di luar bandar sahaja mencatatkan 47 peratus menonton filem lucah dan 46 peratus pula membaca majalah lucah. (Berita Harian: 1.6.94) manakala pada tahun lalu dalam satu serbuan di sebuah pawagam mini di Bandaraya Kuching, seramai 20 orang terbabit ditahan ketika sedang menonton filem lucah. Antara yang terlibat ialah 9 remaja berusia antara 15 hingga 20 tahun. (Berita Harian: 19.11.94)

Fakta ini seharusnya menjadi kayu pengukur betapa kesan video lucah semakin membarah dalam kehidupan masyarakat. Kesannya amat ketara hingga mengakibatkan berlakunya pelencongan seks dan kegilaan seks luar normal yang dimanifestasikan melalui peningkatan kes-kes rogol, pelacuran, aids dan yang terbaru ialah kes bohsia dan bohjan. Statistik menunjukkan kes rogol semakin bertambah di mana dalam tahun 1994 sebanyak 965 kes dilaporkan berbanding pada tahun 1993 hanya 869 kes dan 1992, 719 kes sahaja. (Berita Harian: 7.6.95). Hasil kajian Dr.Diana Russell dari Kolej Mills pada tahun 1984, di Amerika kira-kira sejuta kes rogol dipengaruhi dengan kuat oleh faktor bahan lucah. Begitu juga, Rustam A.Sani dari ISIS menyuarakan reaksinya tentang masalah seks ini; beliau mengatakan satu hal yang amat perlu diketahui oleh ibu bapa ialah remaja kini mendapat pengetahuan seks lebih banyak daripada apa yang kita sangkakan mereka tahu.

Dalam menangani kemelut ini, kita tidak seharusnya menuding jari menyalahkan remaja semata-mata. Faktor-faktor pendorong ke arah berleluasanya gejala ini banyak melingkari kehidupan persekitaran harian remaja. Di Sarawak khususnya yang ketara sekali ialah pertumbuhan pusat-pusat cakera laser. Menurut Ketua
Pengarah FINAS Sarawak, Sek Eng Chong, sehingga kini terdapat 80 pusat cakera laser yang beroperasi secara sah di seluruh Sarawak. Ia suatu jumlah yang besar dan mudah ditemui di bandar-bandar di Sarawak. Umum tidak menafikan kebanyakan pusat-pusat ini menayangkan filem-filem lucah kepada orang awam.

Penayangan filem lucah oleh premis-premis pusat hiburan ini dibuktikan melalui serbuan yang dilakukan oleh pihak polis sepanjang sebelas bulan pertama tahun lalu di mana sebanyak 390 pita video dan cakera laser yang mengandungi cerita berunsur lucah dirampas di seluruh Sarawak. Dari jumlah tersebut 337 adalah cakera laser manakala baki 53 lagi adalah pita video lucah. Rampasan tersebut hasil dari 65 serbuan yang dilakukan di semua pusat cakera laser dan kedai menjual pita video. Kuching sahaja mencatat jumlah serbuan paling banyak iaitu 32 berbanding dengan bahagian lain. (Utusan Sarawak; 3.12.94)

Walau bagaimanapun difahamkan pihak polis menghadapi dilema dalam membasmi penayangan filem lucah melalui cakera laser kerana lesen bagi tempat seperti itu diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan. Justeru pihak polis tidak boleh menyerbu secara sembarangan ke pusat-pusat tersebut melainkan dengan maklumat dan aduan orang awam. Dan hingga kini belum ada alat yang boleh digunakan untuk membuat penapisan terhadap filem cakera laser ini.

Suatu hal yang perlu diberi perhatian, filem-filem berunsur lucah ini juga boleh ditonton melalui bas-bas ekspres dan bot-bot ekspres yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke bandar-bandar utama. Walaupun kadang-kadang penayangan filem ini tidak seratus peratus lucah tetapi yang pasti filem tersebut terlepas dari pengguntingan pihak Lembaga Penapis Filem (LPF). Pada dasarnya penayangan video ini bertujuan sebagai hiburan kepada penumpang-penumpang, namun ada sesetengah pengusaha sengaja menayangkan filem lucah sebagai tarikan kepada penumpang supaya menaiki kenderaan mereka. Kerajaan negeri pernah menegur pengusaha-pengusaha bot ekspres khususnya dengan meminta lembaga sungai-sungai Sarawak mengambil tindakan tegas termasuk membatal permit bot ekspres yang menayangkan filem lucah kepada penumpang. tetapi sejauh manakah keberkesanannya?

Dalam satu laporan mendedahkan pengedaran filem lucah ini sukar dikesan oleh pegawai-pegawai Kastam dan Eksais. Bahan-bahan tersebut di bawa masuk
melalui cakera laser kerana lebih kecil tetapi mempunyai mutu yang tinggi untuk disalin semula ke bentuk filem video. Pengusaha-pengusaha pusat cakera
laser juga menggunakan taktik tertentu untuk mengelak dari kegiatan mereka dikesan oleh pihak polis. Pihak polis mendedahkan, ketika serbuan dijalankan, filem lucah tersebut boleh ditutup secara automatik dan di tukar kepada filem biasa menggunakan alat yang dicipta khas.

Di samping itu juga kebanyakan video lucah baru diedarkan oleh pusat-pusat video yang berdaftar yang berselindung di sebalik kebenaran kerajaan dengan pelbagai taktik. (Ummi: Julai '93)

Pertama, menggunakan video asal yang dibenarkan oleh kerajaan. Pada kulit video tersebut tertulis perkataan, "Adalah diperakukan bahawa filem ini ditapis dan diluluskan untuk tayangan mengikut Seksyen 9(2) Akta Filem (Penapisan) 1952. Tetapi apabila sampai di tangan pengedar, dia menyalin filem yang tidak dibenarkan.

Kedua, pihak pengedar video berdaftar ini menyewakan video lucah kepada pelanggan tetap yang dipercayai sahaja. tempoh untuk menjadi pelanggan tetap hanya sebulan atau lebih pendek lagi jika remaja datang dengan seseorang yang telah dipercayai oleh pengedar.

Ketiga, filem-filem yang memaparkan sebahagian sahaja adegan lucah yang pernah ditayangkan di pawagam. Ketika itu filem ini ditapis secukupnya tetapi yang diedarkan oleh pengedar video tidak ditapis secukupnya. Pihak pengedar tidak berasa takut memandangkan mereka dengan bebas menayangkan poster-poster dan senarai tajuk-tajuk filem tersebut dalam buku di kedai masing-masing. Boleh dikatakan filem-filem berbentuk ini boleh terdedah kepada sesiapa saja termasuk remaja.

Keempat, melalui rakan-rakan yang mendapatkannya daripada rakan-rakan yang lain sama ada dipinjam, disewa atau dibeli. kebanyakan filem lucah ini sudah lama dan tidak bermutu kerana telah disalin acap kali.

Kelima, melalui kecuaian ibu bapa yang memiliki filem-filem ini. Kebanyakan filem ini ditonton ketika ibu bapa tiada di rumah.

Begitulah hakikat betapa mudah remaja memperolehi filem-filem lucah. Walaupun undang-undang telah dikuatkuasa namun yang pasti pengedaran filem lucah masih bermaharaja lela dan gagal dibendung. Kemudahan seumpama ini dipergunakan sepenuhnya oleh golongan remaja yang masih mentah menilai baik buruk seks. Lalu mereka menggunakan saluran ini sebagai melepaskan naluri seks yang semakin bergelojak. Bayangkanlah apabila remaja menonton filem lucah dalam saat emosi mereka belum bersedia. Akhirnya tidak tahu di mana tempat untuk menyalurkan naluri seks mereka. Maka ini mendorong diri mereka melakukan onani. Akibatnya kita dihadiahkan dengan masalah sosial remaja yang semakin rencam dan pelbagai bentuknya.

Justeru, penayangan filem lucah di kalangan remaja bahkan kepada masyarakat umum harus dibanteras segera. Semua pihak harus berganding bahu bersama-sama berperanan aktif menyekat gejala ini dari terus merebak. Kerajaan harus prihatin dan bertindak lebih tegas lagi. Sekarang ini undang-undang memperuntukkan, premis-premis yang menayangkan filem lucah kepada mereka yang masih di bawah umur boleh didakwa mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kalau kerajaan boleh bertegas apabila berhadapan dengan masalah dadah, mengapa tidak dengan penyebaran filem lucah. Sedangkan sudah jelas kemudaratannya. Kerajaan berkuasa mengenakan undang-undang yang lebih keras, tegas dan lebih tersusun. Terpulanglah kepada budi bicara kerajaan sendiri.

Ibu bapa juga seharusnya menyedari bahaya gejala ini. Mereka bukan setakat mengawal kemasukan filem-filem lucah di dalam rumah malah mempastikannya
juga tidak berlaku di luar rumah. Yang lebih penting lagi ibu bapa perlu mengujudkan suasana kebahagian dalam rumahtangga di mana anak-anak berasa senang dan mudah didampingi oleh ibu bapa. Kewujudan biah solehah dalam keluarga akan mempastikan anak-anak mereka terselamat dari sebarang bentuk gejala sosial yang lain. Jangan menjadi seperti sesetengah ibu bapa yang merotan anaknya kerana kesalahan menonton filem lucah dengan tangan kanan sedangkan di tangan kirinya memegang erat pita video lucah.

Pendekatan Islam dalam menangani kemelut ini amat jelas dan nyata. awal-awal lagi Islam melarang penganutnya mendekati perkara-perkara yang membawa kepada zina. Firman Allah:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan yang membawa kerosakan" (Al-Israa': 32)

Dalam hal ini Islam lebih cenderung kepada unsur-unsur pencegahan sesuatu perkara daripada mengubatinya apabila sudah parah. Justeru Islam menyediakan garis panduan yang jelas sebagai langkah mencegah kejadian zina. Umpamanya dalam masalah pergaulan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, kaedah berpakaian yang menutup aurat, hukuman ke atas penzina, kepentingan mengujudkan persekitaran yang soleh, mendidik individu dan masyarakat yang patuh kepada perintah Allah dan menutup segala pintu-pintu kemungkaran dan kemaksiatan yang boleh membawa kepada perlakuan zina. Dalam masalah filem lucah ini, bukan sahaja Islam menegahnya malah semua faktor penyumbang yang membantu kepada berleluasanya gejala ini perlu disekat dan dihindar jauh.

Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok. 60 peratus penduduk negara terdiri daripada generasi muda. Mereka bakal mewarnai kesinambungan perjuangan meninggikan martabat agama, bangsa dan negara. Justeru penglibatan bersepadu semua pihak dalam menangani kemelut remaja yang semakin rencam dapat menyelamatkan mereka dari terus hanyut dalam kancah kehidupan yang merosakkan. pada masa yang sama remaja sendiri harus bersikap positif dan bersedia menerima perubahan ke arah pembaikan diri. InsyaAllah suatu hari nanti kemelut remaja ini akan dapat dibendung dengan daya usaha semua pihak termasuk remaja sendiri.

Sumber: http://www.mail-archive.com/hira@alumni-hira.org/msg00890.html
Mesej ini ditulis tahun 2003 tapi isi kandungannya masih relevan.